Tomok tolak glamorOleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my
"Sebelum ini ramai yang cakap saya sekadar popular dengan lagu yang mendayu-dayu dan kedengaran kekampungan" – TOMOK MENJADI seorang Tomok sebelum benar-benar diserahkan gelaran juara program realiti TV,
One In A Million musim ketiga (
OIAM3) hingga melayakkan dirinya membawa pulang hadiah berjumlah RM1 juta bukan sesuatu yang mudah.
Paling memeritkan, apabila namanya diumumkan oleh pengacara Awal
Ashaari dan Marion Counter sebagai peserta yang disingkirkan pada malam
peringkat akhir
OIAM3 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam Jumaat lalu.
Gara-gara mendapat undian terendah, Tomok pula yang menjadi mangsa. Malam final
OIAM3 sepatutnya hanya menampilkan dua peserta iaitu Aweera dan Esther.
Luluh jantung, malah dunianya pantas menjadi gelap-gelita mendengar
perkhabaran memeranjatkan itu. Tidak lama kemudian, ada drama lain pula
yang menanti. Tomok kemudian bersatu kembali bersama-sama Aweera dan
Esther untuk terus beraksi di pentas akhir
OIAM3.
Tomok yang sebenar kini muncul ke persada seni tanah air.
Tomok yang ditemui selepas berakhirnya pertandingan itu memberitahu,
dia menerima ketentuan tersebut dengan perasaan terbuka pada awalnya.
Walaupun hati cukup terluka, namun itu realiti yang harus diterima.
"Awal-awal lagi saya sudah boleh terima jika ditakdirkan tidak dapat melakukan persembahan pada malam akhir
OIAM3. Enggan bersikap terlebih yakin, saya sudah menjangkakan pelbagai keputusan sama ada baik mahupun buruk.
"Alhamdulillah, kesedihan saya kemudian bertukar jadi gembira
apabila Allah memberi peluang kedua kepada saya untuk bertanding dengan
rakan lain," katanya tersenyum bahagia sambil memanjatkan kesyukuran ke
hadrat Ilahi.
Jika mengikut format asal, peserta akhir
OIAM hanya melibatkan dua orang. Apa jua boleh berganti tanpa diketahui.
WAJAH kelegaan seorang Tomok setelah sekian lama terseksa dengan elemen drama dalam OIAM3.
Itulah yang terjadi kepada Tomok apabila peminat membuat undian di
laman sesawang 8TV. Angka 90 peratus menyokong tiga orang peserta
dipertaruhkan untuk ke peringkat akhir berbanding dua orang. Dan itulah
yang dinamakan tuah kepada Tomok!
Sambung pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail itu, selepas namanya diumumkan layak masuk ke peringkat akhir
OIAM3, semangatnya yang hilang terus membakar dengan marak sekali.
"Tiada lain yang saya fikirkan pada waktu itu. Sepantas kilat saya
berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh membuat dua persembahan yang
dirancangkan demi membuktikan kemampuan saya kepada peminat.
"Memanglah pada mulanya saya tertekan sebab dapat peratus tercorot
daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton, tetapi saya
lupakan segala kesedihan ini semata-mata ingin tonjolkan persembahan
yang terbaik," ujarnya.
TOMOK diapit pesaing terdekat, Esther (kiri) dan Aweera.
Jejaka berusia 25 tahun itu dapat melupakan kesedihan awalnya. Tiada
apa lagi yang perlu ditangisi kerana Tomok kini secara mutlaknya sudah
bergelar juara
OIAM3.
Bukan itu sahaja, Tomok juga berjaya memecahkan tradisi
OIAM apabila menjadi artis pertama dan peserta lelaki sulung yang memiliki gelaran itu.
Sudah tentu ia menjadi satu kebanggaan yang tidak mampu terluahkan
dek kata-kata. Kenapa tidak, sepanjang empat bulan bergelar peserta
OIAM3, Tomok memperlihatkan banyak peningkatan ketara hingga mengejutkan orang ramai.
Bermula saat itu, nama Tomok mula dibahaskan dalam nada-nada
positif. Tidak lagi diperlekehkan seperti awal kemunculannya di laman
seni tanah air sedekad lalu.
Ditanya sama ada istilah transformasi berlaku disebabkan dia memang
mahu berubah demi kehendak sendiri atau sekadar memenuhi syarat program
berkenaan, Tomok menegaskan: "Individu bernama Tomok yang dilihat dalam
OIAM3 memang merujuk kepada diri saya yang sebenar."
Tidak ada sebarang kepura-puraan di sebalik empunya diri yang
dikenali sebagai penyanyi lagu leleh sebelum ini, sebaliknya Tomok
sudah lama mengimpikan untuk menjadi orang baru.
"Sebelum ini New Boyz bernaung dengan syarikat rakaman. Kami harus
mengikut segala perancangan yang ditetapkan oleh pihak tersebut pada
awal kemunculan bergelar penyanyi.
"Sudah pastilah peluang untuk memperlihatkan bakat yang ada agak terbatas. Sebab itulah saya nekad untuk menyertai
OIAM3, walaupun pada permulaannya saya dikritik itu dan ini oleh masyarakat.
"Saya percaya
OIAM3 menjadi platform terbaik untuk saya
meluahkan diri sebenar kepada orang di sekeliling apatah lagi program
ini sudah mempunyai reputasi tersendiri.
"Saya tidak mahukan lagi glamor, sebaliknya saya cuma hendakkan
kerjaya saya lebih berpanjangan dan bagus berbanding sebelum ini.
"Dahulu peluang untuk saya tonjolkan diri memang susah. Sampai sukar
untuk meyakinkan peminat bahawa saya juga boleh menjadi artis yang
versatil.
"Saya melakukan perubahan kerana ingin menjadi Tomok yang baru,"
jawabnya telus.Dengan mendapat undian SMS sebanyak 39.3 peratus, Tomok
menewaskan dua lagi peserta, Esther atau nama sebenarnya Elizabeth
Applunius Chin yang meraih 33.29 peratus dan Aweera (Nasharul Aweera
Norihissham) dengan undian 27.41 peratus.
TOMOK kini dilahirkan semula untuk memadamkan imej Tomok ketika bersama New Boyz dulu.
Selain hadiah RM1 juta, Tomok yang menyanyikan lagu Aizat,
Hanya Kau Yang Mampu dan lagu baru,
Rindu Terhenti juga mendapat kontrak rakaman album bersama Monkey Bone dan albumnya akan diterbitkan oleh komposer terkenal, Aubrey Suwito.
Sudah bergelar jutawan muda, sudah pasti ia mengubah banyak perkara
dalam diri Tomok. Itu menjadi kenyataan yang tidak mampu lagi untuk
disanggah.
Tomok memberitahu, dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang
sambil mengenangkan Tomok yang berada di alam realiti sebelum menyertai
OIAM3 empat bulan lalu.
"Saya tidak akan balik semula kepada Tomok lama," luah penyanyi yang sebelum ini terkenal menerusi lagu
Sejarah Mungkin Berulang.
Tomok berkata, bukan disebabkan dia tidak mensyukuri sokongan
peminat semasa dia bersama New Boyz sebelum ini, sebaliknya dia sudah
merencana masa depannya agar terus berkembang lagi.
"Sebelum ini ramai yang cakap saya sekadar popular dengan lagu yang
mendayu-dayu dan kedengaran kekampungan. Kini, saya mahu buktikan
bahawa saya berjaya keluar daripada kepompong lama.
"Saya banyak belajar perkara baru semasa berada dalam
OIAM3. Jadi, saya akan tampilkan pembaharuan diri menerusi album solo pertama saya.
"Sudah lama saya ada keinginan untuk muncul dengan album yang
menampilkan sisi lain saya," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Ingin bergelar komposerBanyak lagi yang ingin dikongsi Tomok saat dirinya diwawancara pihak
media. Karier seninya menjadi tajuk bualan utama sekali gus menzahirkan
aspirasinya yang tinggi menggunung dalam cabang seni.
Menyelak satu persatu lembaran hajatnya, Tomok memasang angan-angan untuk menjadi seorang komposer.
Enggan dikenali sebagai penyanyi yang mendendangkan lagu milik orang
semata-mata, sebaliknya dia mahu kreativiti yang dimilikinya diluahkan
dalam lagu. Dinyanyikan sendiri olehnya atau barangkali diberikan
kepada artis lain.
"Sepanjang berada di
OIAM3, saya banyak berkomunikasi dengan
Aubrey. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi
seorang penyanyi yang berjaya.
"Saya berjanji untuk terus menimba ilmu dengan Aubrey. Selepas ini,
kami akan sering bertemu untuk membincangkan tentang album saya yang
akan dilahirkan.
"Kalau diberikan kesempatan, saya juga ingin melibatkan diri dalam
penggubahan lagu. Saya akan belajar sedikit demi sedikit. Tidak kiralah
kalau ia mengambil waktu panjang sekali pun.
"Saya tahu bukan mudah untuk menggapai cita-cita ini. Maka saya kena
ringan mulut bertanya kepada individu-individu yang berpengalaman
sebagai komposer untuk mengasah bakat yang tidak seberapa ini," ungkap
Tomok yang bakal mengadakan projek istimewa bersama New Boyz dan
membina studio muzik sendiri selepas ini.
Tidak melupakan nasib insan lain, Tomok juga akan menyumbangkan
sejumlah wang yang diperoleh daripada hasil kemenangannya kepada rumah
anak-anak yatim. Dia juga akan mengadakan kenduri sebagai tanda
kesyukuran memegang status juara
OIAM3.
Esther, Aweera terima kekalahanDalam pada itu, Esther juga dilihat tidak kurang hebatnya semasa menyampaikan lagu
Please Don't Stop The Music dan
Menggapai Mimpi, manakala Aweera pula memilih medley
Sampai Syurga,
My Baby You dan
Hukum Karma selain lagu barunya,
Kini Ku Di Sini.
|
Peminat kini menanti kelahiran album terbaru daripada Tomok yang baru.
|
Tanpa berselindung, Esther, 21, mengaku Tomok menjadi insan paling layak meraih gelaran juara
OIAM3. Namun dia pasrah dengan tuah yang lebih berpihak kepada Tomok.
"Tomok berhak jadi juara. Lagipun banyak perubahan yang sudah dia
tunjukkan selama ini. Saya sendiri kagum dengan dirinya yang tidak
mudah berputus asa dan sentiasa ada inisiatif mahu belajar.
"Terus terang, siapa sahaja yang tidak bersedih kerana kalah dalam
pertandingan ini lebih-lebih lagi apabila mengenangkan penyokong yang
selama ini memberi banyak galakan kepada saya.
"Mungkin tiada rezeki, tetapi saya sentiasa bersikap terbuka dengan
kemenangan Tomok. Saya masih lagi boleh mengejar cita-cita untuk
bergelar penyanyi selepas ini.
"Kalau saya berusaha dengan gigih pada masa depan, maka tidak mustahil saya juga akan mencapai kejayaan," jawabnya optimis.
Bagi Aweera, 18, kekalahannya dengan Tomok bukanlah pengakhiran
kepada segala-galanya. Dia tidak mahu menjadi seorang insan yang mudah
mengalah apatah lagi usianya masih ranum.
"Saya akur dengan keputusan ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan
kerana saya tetap akan menempatkan diri dalam bidang nyanyian dan
bergelar penyanyi rock.
"Saya harap kemunculan saya dalam industri ini dapat diterima dengan
baik oleh masyarakat. Hakikatnya, ini baru permulaan untuk saya.
"Banyak lagi pahit dan manis untuk saya hadapi selepas ini," ujar
anak kelahiran Perlis itu yang awal-awal lagi sudah boleh menduga
keindahan dan kejelikan lapangan seni.