Sumber dari BERITA HARIAN(SPORE)
IDOLA REMAJA
oleh: Haryani Ismail
TOMOK KEMBALI
RAMBUTNYA pendek dan disikat rapi.
Wajahnya yang comel dan kebudak-budakan menjadi igauan gadis-gadis di
sekelilingnya. Ada yang sanggup membetis ke Singapura dari Johor Bahru
untuk menyaksikan aksi bintang kesayangan yang baru berusia 15 tahun
itu.
'Tomok!
Tomok!' Mereka ghairah memekik namanya di gelanggang bola sepak Bedok
yang dijejaki vokalis New Boyz itu, buat pertama kali.
Ke mana-mana Tomok pergi, topi besbol menutupi 'mahkota nya'. Senyuman
tulusnya dilemparkan kepada peminat yang melambai-lambai mesra.
Itulah kenangan yang jelas terbayang di fikiran saya. Hampir lapan
tahun lalu, info-R, ruangan remaja Berita Harian, yang saya selaraskan
mengadakan perlawanan bola sepak jalanan. Wartawan BH menentang lima
remaja yang popular dengan lagu mereka, Sejarah Mungkin Berulang.
Rabu lalu, 'sejarah berulang' walaupun menerusi panggilan jauh. Saya
berpeluang menemubual Tomok yang kini berusia 23 tahun, berambut
panjang dan berjanggut goatie.
Apakah perbezaan antara Tomok dahulu dengan Tomok sekarang? Itulah antara soalan pertama saya.
'Dulu, rambut Tomok pendek. Sekarang, rambut Tomok dah panjang. Selepas
lima album, saya nak ubah sedikit identiti agar tampak matang. Tak ada
nanti, Tomok sendiri rasa jemu dengan penampilan yang tidak berubah,'
ujar Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, ramah seperti
dahulu.
Tomok yang
merupakan satu-satunya anggota asal New Boyz tidak pernah menyifatkan
populariti New Boyz kecundang ataupun sambutan peminat setia mereka
dingin walaupun sudah beberapa kali bertukar anggota.
Setelah dua tahun tidak kedengaran berita mengenai album baru, New Boyz
yang kini dianggotai Tomok, Zack, Ristoe dan Afiez (gitaris terbaru),
muncul dengan album, Semula Padaku, pada 4 Jun lalu.
Lima keratan lagu merupakan ciptaan Tomok sendiri.
'Saya akur agak payah juga apabila kumpulan ini berganti orang baru.
Banyak penyesuaian yang perlu dibuat. Saya perlu mengenali mereka dan
kami harus sehaluan.
'Bagaimanapun, Alhamdulillah, anggota-anggota yang ada boleh
bekerjasama dan saling memahami. Sambutan peminat masih tetap sama.
'Peminat-peminat di Singapura, misalnya, akan bergegas mendapatkan
album baru sejurus ia berada di pasaran. Lagipun, saya ceburi industri
seni bukan untuk mengecap populariti. Saya memang minat dalam bidang
muzik dan ingin menjadikannya sumber pencarian rezeki saya 100 peratus.
Jadi, tak bolehlah nak main-main,' jelas Tomok, yang lebih selesa
bergiat secara berkumpulan daripada menyanyi secara solo.
Beliau masih terus berhubungan dengan anggota New Boyz yang lama
meskipun rata-rata mereka tidak lagi berkecimpung dalam bidang muzik.
'Bukan hak saya untuk menghalang mereka agar terus bergiat dengan New
Boyz. Ada yang nak mulakan perniagaan, ada yang nak cari makan dengan
cara lain. Mungkin rezeki mereka bukan di bidang muzik. Ada yang lebih
baik untuk mereka terokai, jadi mengapa tidak? Saya tumpang gembira,'
katanya.
Kini,
Tomok gigih ingin menggilap keupayaannya mencipta lagu pula. Kau
Bernama Cinta, Semula Padamu, Lara Ini, Malam Yang Bosan dan Kenangan
Kita Berdua datang daripada kekotak mindanya.
'Saya banyak bertanya abang ipar saya, Abang Zul (2 by 2). Memang
daripada dulu, beliaulah mentor saya. Kalau tersepit dengan masalah
ataupun payah membuat keputusan, saya dapatkan pandangannya.
'Sebagai artis muda, saya banyak belajar daripada penglibatan awal di
dalam industri seni ini. Memang ada kalanya, kami diperdaya kerana ada
pihak ingat kami budak-budak lagi.
'Kami pun pernah ditipu di Singapura. Dijanji ada bayaran. Diberi cek
tendang. Sampai sekarang, duit belum dibayar lagi. Hampa sebab orang
berkenaan saya kenal rapat. Tak sangka dia buat begitu,' tambah Tomok