Demam AJLOleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my DARI kiri, Akim, Aizat dan Tomok.
|
Tiga finalis, Tomok. Aizat dan Akim berdebar tunggu malam final, Ahad ini di Stadium Putra Bukit Jalil SEJAK dua tahun kebelakangan ini, penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) didominasi kumpulan indie. Malah kemenangan Estranged dan Meet Uncle Hussain pada siri AJL ke-22 dan 23 menambahkan profil indie untuk terus mekar di arus perdana.
Tidak ketinggalan ia turut dihangatkan dengan kelompok artis program pertandingan realiti. Tahun ini, sekali lagi generasi muda dan pelapis dunia seni bolos ke peringkat akhir AJL ke-24 pada 10 Januari ini. Meraikan kemuncak AJL yang bertemakan Music Unfold ini, Hip satukan Tomok, Aizat dan Akim yang terus bersinar di persada seni.
innity_country = "MY";
innity_client = "17";
innity_zone = "761";
innity_channel = "";
innity_keyword = "";
Pastinya mereka sedang rancak melakukan persiapan untuk memastikan kelangsungan acara itu di Stadium Putra Bukit Jalil. Pastinya laluan ke pentas berprestij itu dijadikan mereka sebagai tiket untuk mengutip pengalaman berharga.
Dalam gaya santai menyarungkan kemeja putih dan celana potongan skinny, tiga profil berbakat besar ini menterjemahkan semangat mereka dalam misi menyemarakkan legasi muzik. Saat diajukan soalan mengenai konsep persembahan pada malam itu, masing-masing memilih untuk mendiamkan diri.
Berbanding Aizat dan Tomok, Akim yang paling bongsu dan pertama kali melangkah ke AJL. Pemenang tempat ketiga, Akademi Fantasia musim ketujuh ini bakal mendendangkan lagu Bengang ciptaan Amir dan lirik oleh Sheikh Qalam. Mengakui perasaannya bercampur aduk, Akim sedar tanggung jawab yang digalasnya bukan kecil anak.
|
Akim (kiri) dan Aizat.
|
"Rasa diri saya sangat kecil dan kerdil kalau mahu dibandingkan dengan peserta yang lain. Saya sendiri tidak menyangka dapat melangkah kaki ke peringkat akhir dan berentap dengan nama besar yang bertanding. Pada masa yang sama, saya gembira lagu nyanyian sendiri melakar sejarah AJL.
"Sebagai penyanyi, saya akan cuba menyanyikan lagu ini sebaik mungkin. Lagu ini ternyata bersesuaian dengan kehendak jiwa saya. Malah, liriknya juga ada kena mengena dengan apa yang pernah saya lalui. Untuk persembahan nanti, mungkin akan ada penari atau pelakon. Tunggu....," katanya yang masih diuruskan Astro Entertainment Sdn Bhd dan Enfiniti Productions Sdn Bhd (Enfiniti)
Pelakon drama Kau dan Aku yang bersiaran di Astro Ria ini juga sempat menambah, dia kini bakal masuk ke studio merakamkan lagu ciptaannya sendiri yang berentak pop jazz. Lagu itu diilhamkan sejak awal Disember.
"Mungkin saya akan namakan lagu ini sebagai Inilah Cinta. Lagunya agak catchy dan tidak jiwang karat sangat," katanya ringkas.
|
Tomok |
Landasan terbaik BAGI Tomok yang mula rancak dengan kerjaya solonya selepas ditabalkan sebagai jutawan dan juara One In A Million musim ketiga, berada di pentas AJL dengan lagu Rindu Terhenti ciptaan Aubrey Suwito dan Tinta seperti mengimbas kenangan bersama Newboyz ketika bersaing di peringkat separuh akhir 10 tahun dulu.
Biarpun peluang datang agak lambat, namun hero filem Man Tera ini yakin setiap kesempatan itu seperti nikmat yang tak wajar dilepaskan begitu saja. Setiap artis pastinya mendambakan ruang untuk beraksi di pentas kebanggaan TV3 itu.
"AJL adalah landasan terbaik untuk kita terus memartabatkan karya tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi. Ia adalah pertandingan yang memberikan kredit kepada pencipta lagu dan penulis lirik yang menjadi tulang belakang kepada terhasilnya gema muzik yang indah.
"Sebagai penyanyi, Tomok hanya menyampaikan maksud di sebalik ciptaan lagu itu. Penyanyi hanya menambah seri yang terus menjadikan sesebuah lagu itu bertambah asyik. Nak ikutkan persaingan kali ini memang kuat-kuat belaka. Insya-Allah, saya akan melunaskan tanggung jawab yang diberi sehabis baik," katanya yang selesai menjalani penggambaran filem Man Tera sebanyak 50 peratus di Kuala Lumpur dan selebihnya di Dubai masih menanti tarikh.
Pada mulanya, Tomok sepatutnya bergandingan Lisa Surihani namun dek penangguhan tarikh penggambaran dan komitmen Lisa untuk tawaran berlakon yang lain, ia akhirnya digantikan dengan pelakon baru, Shikin Kamal.
Demi revolusi muzik BERALIH bicara kepada Aizat, peserta Akademi Fantasia musim kelima ini menggalas dua tanggungjawab menyanyikan dua buah lagu iaitu Kau Aku dan Pergi. Pada AJL tahun lalu, Aizat juga tersenarai ke peringkat akhir mendendangkan Lagu Kita ciptaannya sendiri.
Aizat yang bersahabat baik dengan Liyana Jasmay ini menyifatkan kebangkitan generasi baru sebagai isyarat karya dan penggiat seni baru terus berkembang tanpa sempadan. Malah, katanya, tidak ada yang baru, kalau tiada yang lama. Ia juga bukti revolusi muzik terus berputar tanpa henti.
"Kita harus berbangga kerana AJL menjadi penanda aras kepada ledakan muzik yang setiap tahun bersilih ganti. Barangkali pertandingan sebegini boleh saya katakan tidak ada di negara lain dan kita seharusnya bersatu memastikan aliran muzik terus berkembang.
"Saya yakin, semua yang bertanding dalam AJL mempunyai keghairahan terhadap sisi muzik yang diperjuangkan. Apa yang dilakukan ini juga sedikit sebanyak membantu memastikan entiti muzik di negara kita terus dijana biarpun keadaan pasaran sekarang tidak menentu," kata Aizat yang akan menggayakan dua pakaian rekaan Hazwani Osman.
Diaju soalan dengan sikap sesetengah penyanyi baru dan termasuk kumpulan indie yang dilihat mempunyai sikap individualistik atau paling tepat mengikut kepala sendiri hingga dilabel 'kekwat', Aizat mengakui situasi demikian memang benar-benar terjadi.
"Ada kalanya matlamat itu sudah ada, namun cara yang dilaksanakan tidak tepat terutama di negara kita. Sebagai contoh, ada yang melihat tidak wujud kepentingan media di negara kita kerana hala tuju yang lebih cenderung merentasi negara sendiri.
"Kita kena berpijak di bumi nyata. Jangan syok sendiri. Saya sendiri akui generasi muda seperti saya terarah dan senang untuk lupa diri. Tapi saya bersyukur mempunyai keluarga yang memastikan diri ini tidak bersikap melampau," katanya yang sedang dalam rangka persediaan melunaskan pembikinan album kedua dan termasuk konsert kolaborasinya bersama Faizal Tahir di Istana Budaya pada Februari 2010.
INFO: AJL 24 Akan disiarkan pada 10 Januari ini di TV3 jam 9 hingga 11.30 malam, secara langsung.
Diterbitkan Ahmad Shaifullizam Arshad, tema Music Unfold akan membawa penonton membongkar perkembangan industri muzik tanah air sesuai dengan temanya bermula dari era 60-an hingga kini.
Tidak mewujudkan kategori khusus, pemenang ditentukan mengikut kedudukan, iaitu juara menerima wang
tunai RM35,000, naib juara (RM15,000) dan tempat ketiga RM12,000.
Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik pula masing-masing menerima wang tunai RM10,000.
Menggunakan orkestra yang membabitkan 40 pemuzik di bawah pimpinan Ramli MS.
Turut disertai finalis seperti Estranged, Alyah, Misha Omar, Hafiz, Bunkface, Stacy, Hujan, Faizal Tahir, Black dan Yuna.