Zaman pop leleh sudah berakhirOleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
|
Saat-saat manis ketika ditabalkan sebagai juara OIAM musim ketiga.
|
SEPULUH tahun dahulu, Shah Indrawan Ismail sama seperti rakan sebayanya yang lain dibesarkan dalam persekitaran masyarakat yang berpendapatan sederhana di kawasan perumahan Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Di situ dia dibesarkan dan kehidupannya hanyalah di sekitar lingkaran masyarakat yang terdiri daripada keluarga pelbagai kaum.
Seperti biasa, setiap pagi dia ke sekolah yang berdekatan dengan kediaman keluarganya.
Pada waktu petang pula, Shah Indrawan yang gemar bermain bola sepak akan bersama rakan-rakan sepermainan beriadah untuk mengeluarkan peluh.
Di kalangan rakan-rakannya, nama Shah Indrawan bukanlah nama yang popular.
Sebaliknya, remaja lelaki itu lebih dikenali sebagai Tomok yang dibesarkan oleh pasangan suami isteri, Ismail Salim dan Siti Fatimah Harun dengan penuh tertib serta dibekalkan dengan panduan dan nasihat agar menjadi seorang anak yang bertanggungjawab.
Hari ini, hidupnya berubah dalam sekelip mata.
Gelaran 'jutawan segera' yang diberikan kepadanya selepas meraih gelaran juara musim ketiga,
One In A Million (
OIAM) masih terlalu janggal buatnya.
"Duit pun belum dapat, mana boleh panggil saya jutawan," katanya pada pertemuan awal di kediaman baru Tomok dan keluarganya di Alam Damai, Cheras petang Rabu lalu.
Kemenangan yang tidak pernah diduga Tomok membawa rahmat yang bukan sedikit bagi anak muda berusia 24 tahun itu.
Dahulunya, dia berjuang atas tiket kumpulan New Boyz. Dia bersama rakan-rakannya bekerja keras untuk memahat nama sebagai
band boy yang berjaya di persada seni tanah air.
Namun lumrah bagi artis berkumpulan lelaki bukan mudah untuk menarik perhatian masyarakat secara total.
Dihina, dikecam, dikritik hanya kerana lagu-lagu yang New Boyz perjuangkan berkonsepkan pop leleh dan melankolik menyebabkan Tomok diheret sama dalam perdebatan.
Mujur, Tomok seorang yang sedar diri. Tidak pernah ambil kisah cakap-cakap negatif orang-orang di sekeliling, dia dan rakan-rakan dalam New Boyz sekadar memekakkan telinga dan tebalkan muka.
"Yang saya tahu saya dan rakan-rakan cari makan dalam muzik. Buat apa nak ambil kisah cakap orang. Walaupun pedih telinga dibuatnya, diam sajalah," Tomok berkongsi keperitan hidup pada awal penglibatannya sebagai anak seni pada sekitar tahun 1999.
Bertitik tolak daripada cabaran-cabaran yang diterima, Tomok menyedari, dia harus melakukan transformasi pada kerjaya seninya.
Tanpa menunggu lama, selepas kontrak rakaman New Boyz bersama syarikat rakaman Suria Records berakhir, dia nekad mahu menyertai
OIAM yang ketika itu sedang dalam pencarian menjejaki peserta.
"Saya memang menyimpan hasrat ingin sertai
OIAM. Alhamdulillah saya berjaya dalam uji bakat dan akhirnya terpilih ke peringkat
Top 12."Namun, berada dalam senarai
Top 12 bukan saat yang menggembirakan saya kerana menyedari cabaran menjadi makin sukar," ujarnya.
Hanya kerana dia seorang artis menyertai program realiti, Tomok tidak sangka ramai yang menentang penglibatannya.
Mujur kekuatan diri yang ada sepanjang tempoh sedekad menjadi artis profesional menjadi dinding kesabarannya.
Bagaimanapun, selama menjayakan konsert mingguan, setiap minggu Tomok membuat persediaan dari aspek mental bahawa dia akan tersingkir lebih awal berbanding orang lain.
"Setiap minggu saya sudah bersedia untuk disingkirkan sebab saya sangat memahami sentimen audiens.
"Saya tidak menyalahkan audiens jika mereka tidak mahu memilih saya kerana yang dicari mereka adalah penyanyi baru," kata Tomok penuh positif.
Kemanisan menemani Tomok sepanjang dia berada dalam konsert mingguan.
Pujian dua pengkritik tetap
OIAM, Syafinaz Selamat dan Paul Moss menjadi motivasi buat Tomok untuk memperkasakan kedudukannya.
Sehinggalah pada final
OIAM minggu lalu, keadaan menjadi sangat genting buat Tomok.
Bukan saja Tomok yang merasakan masa depannya hampir gelap, bahkan seluruh kaum keluarga penyanyi itu juga sudah seperti hilang semangat.
Masakan tidak, nama Tomok diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada pentas final
OIAM.
Mahu tahu apa perasaan Tomok?
"Tuhan saja yang tahu betapa remuknya hati saya. Saya tak boleh nak berkata apa-apa ketika itu. Tipulah kalau saya katakan saya tidak sedih, kecewa dan putus asa.
"Alhamdulillah, keadaan berubah di saat-saat akhir dan rezeki berpihak kepada saya. Syukur yang tidak terhingga kerana rezeki yang ditentukan buat saya," kata Tomok yang masih tergamam dengan kejayaan itu sehingga ke hari ini.
Dan rasa terima kasih Tomok pada stesen penyiar, 8TV yang menawarkannya peluang keemasan itu sentiasa tidak pernah lekang dari bibir Tomok.
Ikrarnya, dia mahu memastikan transformasi imej dan aliran muziknya selepas menyertai
OIAM benar-benar berbaloi dengan hadiah kemenangan yang diberikan kepadanya.
"Fokus saya selepas ini ialah memberikan perhatian pada penerbitan album solo.
"Inilah saat yang saya nantikan. Saya mahu berubah demi kebaikan kerjaya seni saya," ujarnya yang sudah tidak sabar untuk ke studio merakamkan album solo.
Andai peluang diberi, Tomok mahu bekerjasama dengan komposer Aubrey Suwito serta Audi Mok yang disifatkan anak muda itu sebagai dua komposer kreatif tanah air.
Paling utama, Tomok mahu mengutip seberapa banyak ilmu muzik daripada dua karyawan muzik yang semakin masyhur itu.
New Boyz tetap di hati
Sesudah menjadi bintang solo, apakah ini bermakna, tumpuan Tomok pada kumpulan New Boyz akan hilang sekelip mata?
Itulah yang menjadi tanda tanya di kalangan media dan peminat-peminatnya.
"Tidak mungkin saya melupakan rakan-rakan New Boyz. Kami sudah sepakat akan terus bersama memperjuangkan apa yang kami lakukan selama ini.
"Cuma kini, saya perlu memberikan tumpuan pada karier solo saya terlebih dulu. Selepas segala-galanya reda, saya pastinya akan bekerjasama dengan New Boyz pula," itu janji Tomok buat rakan-rakan New Boyz dan peminat-peminat kumpulan itu.
Pengorbanan rakan-rakan New Boyz kata Tomok bukannya sedikit.
"Setiap minggu mereka datang beri sokongan semasa saya dalam
OIAM. Saya gembira kerana mempunyai rakan-rakan yang cukup memahami aspirasi saya dalam muzik," ujarnya dalam nada terharu.
Doa buat Isma
Di kalangan peminat seni tanah air, barangkali semuanya sudah sedia maklum, ketika ini seorang lagi saudara kandung Tomok sedang diuji bakat seninya.
Yang dimaksudkan ialah Ismaliza Ismail, 30, yang merupakan salah seorang peserta yang sedang menimba ilmu dalam
Akademi Fantasia ke-7 (
AF7).
Ismaliza atau Isma merupakan kakak sulung Tomok.
Andai rezeki berpihak kepada Isma, pastinya keluarga bahagia itu akan mendapat kejayaan berganda dan melengkapkan cita-cita mereka untuk menjadi keluarga seni yang disegani.
"Saya gembira dengan perkembangan kejayaan kakak saya dalam
AF7. Doa saya kejayaan juga akan berpihak padanya," Tomok menyuarakan rasa bangga pencapaian Isma yang juga 'rakan karibnya' dalam bidang seni.
Kata Tomok, dia dan Isma sering bertukar pandangan mengenai kerjaya sebagai anak seni.
Kerana itu juga, vokalis utama kumpulan New Boyz ini tidak sabar-sabar untuk hadir memberi sokongan kepada Isma pada persembahan konsert
AF nanti.
Tomok anak yang baik - Ibu
Bagi wanita bernama Siti Fatimah Harun, 50, tiada apa yang menggembirakannya ketika ini selain daripada mendoakan Tomok terus berjaya menggenggam kejayaan pada masa depan.
Sebagi ibu, jauh di sudut hati, Siti Fatimah berkongsi gembira dengan tuah anak keempatnya itu.
"Hati ibu mana yang tak seronok tengok anaknya berjaya. Walaupun Tomok tidak belajar tinggi, tapi saya bersyukur kerana dia berjaya dengan caranya.
"Doa saya Tomok akan kekal merendah diri dan menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab. Saya sentiasa berpesan pada Tomok jangan lupa diri hanya kerana berjaya dalam sesuatu perkara," Siti Fatimah menitipkan nasihat buat kesekian kalinya kepada anak bujangnya itu.
Ditanya peribadi Tomok pula, wanita yang cukup peramah ini menjelaskan, anaknya itu merupakan seorang yang pendiam.
Bahkan, Siti Fatimah tidak menafikan juga bahawa Tomok seorang yang gemar berahsia.
"Jarang sekali dia bercerita mengenai kesusahan menjadi artis. Bila tengok dia menangis dalam
OIAM bercerita mengenai kesukarannya, baru saya tahu yang Tomok banyak memendam rasa.
"Namun, saya bersyukur kerana dia tidak pernah menyusahkan saya dan juga bapanya. Bahkan, dia pula yang banyak membantu memberikan kehidupan yang selesa buat kami sekeluarga," kata Siti Fatimah lagi.
Sebagai anak, Tomok menghargai pengorbanan ayah dan ibunya dalam membesarkan dia sehingga menjadi Tomok hari ini.
Janji Tomok juga, dia mahu memberi keutamaan kepada ayah dan ibu sementelah dia masih lagi bujang.
Dan kerana itu, awal-awal lagi Tomok sudah merancang sejumlah amaun wang kemenangan itu untuk dihadiahkan kepada ibu dan ayah yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaannya.
Selebihnya, dia mahu membuat pelaburan masa depan selain hal-hal yang melibatkan penerbitan album dan aspek 'penjenamaan semula' kerjaya seninya seperti yang dirancang oleh 8TV.
"Saya takut andai saya lupa diri satu hari nanti. Itulah kebimbangan saya. Kerana itu saya pohon kepada keluarga dan rakan-rakan tegurlah saya andai ada perubahan ketara yang boleh menjahanamkan masa depan berlaku pada diri saya," pinta Tomok sebelum mengakhiri perbualan pada petang itu.