Transformasi positif dan negatif AF7Oleh AU YEONG HOW
Hafiz memulakan persembahan dengan lagu Kau Bunga Cintaku dendangan Anuar Zain. -foto The Star oleh AHMAD IZZRAFIQ
AKADEMI Fantasia musim ketujuh (AF7) membuka tirai dengan menyajikan
persembahan hambar jika dibandingkan dengan One In A Million musim
ketiga (OIAM3) musim ketiga.
Aura final AF7 tidak sehebat peringkat akhir OIAM3 - itulah tanggapan
awal penulis yang berpeluang membuat liputan kedua-dua final tersebut.
Ramai berasa kecewa, termasuk penulis ini, kerana final AF7 kurang
`menyengat' berbanding persembahan mingguan sebelum ini. Lebih
menyedihkan, pembukaan AF7 tidak sehebat dengan pembukaan "meletup"
OIAM3 sehingga ke penghujung - ibarat `jauh panggang dari api.' Lima
finalis AF7 yang terdiri daripada Hafiz, Akim, Yazid, Isma dan Aril
gagal menambat hati para penonton di peringkat pusingan awal.
Perlu ditegaskan, ini bukan bermaksud mereka tidak seliga dengan peserta OIAM3 seperti Tomok, Esther dan Aweera.Akim menyanyikan lagu barunya, Bengang ciptaan Amir dan lirik oleh SQ. -foto The Star oleh AHMAD IZZRAFIQ
Punca-punca
Apakah punca-puncanya? Mengapakah pengkritik AF7, Adlin Aman Ramlie
mengenal pasti hanya seorang yang `survive', iaitu Aril untuk pusingan
pertama tersebut. Maklumlah, terdapat peserta dilihat terikat dengan
koreografi sehingga koreografi berlawanan dengan melodi, kata Adlin
terhadap persembahan Hafiz. "Vokal adalah kekurangan sedikit. Adakah
terlampau teruja? `Low note' tak clear. Terikat dengan koreografi -
kacau sedikit," kata pengkritik itu. Penyanyi berasal dari Kuching itu
menyanyikan lagu Kau Bunga Cintaku (penyanyi asal: Anuar Zain). Dari
kaca mata penonton pula, Hafiz macam bukan Hafiz sebelum ini. Hambar
sahaja. Dari perspektif lain, ada lagu terlampau `berat' untuk peserta.
Apabila dibawa juga, Yazid misalnya seolah-olah serba tidak kena
membawakan lagu Kasidah Cinta (nyanyian asal Dewa 19). Kesian Yazid.
Sampai pengkritik, Edrie Hashim melontarkan pertanyaan: "Kenapa setuju
buat? Sebagai artis (seniman), anda perlu mengawalnya. Nampak tak
normal." Bagaimanapun, Adlin bersimpati dengan Yazid dan pada masa yang
sama, kecewa kerana penyanyi tersebut perlu menghadapi dugaan sebegitu
pada peringkat final. "Ia menghancurkan mood audiens kerana lagu
tersebut kurang sesuai dengan anda (Yazid). Tempo, karakter dan aliran
suara tidak ada," katanya sambil menyifatkan Yazid umpama (terapung)
kat tengah laut, tak capai langsung pesisiran pantai. Salah siapa?
Persoalannya dalam soal ini, salah siapa? Salah tenaga produksi?
Ataupun, sesetengah pihak ingin `sabotaj' (menggagalkan) penyanyi
tertentu.
Mengapakah sesetengah peserta pilihan mendapat lagu komersial
berbanding peserta lain yang menyanyikan lagu kurang popular? Tepuk
dada tanya selera. Sebenarnya, penampilan rambut Yazid juga janggal.
Apabila rambut Yazid diikat mayang, dia lebih mirip pemain bola sepak
seperti bekas pemain Arsenal, Kanu atau pemain Manchester United, Sonny
Anderson. Bukankah rambutnya yang menggerbang dan menjurai-jurai
sebelum ini menjadi simbol divanya? Jangan diketepikan soal remeh
tersebut kerana apabila `mahkota' di kepala dirampas, kadang-kala
kesannya turut dirasai pada alunan melodi penyanyi tersebut.
Transformasi AF7 AF7 hanya mula menemui rentaknya pada pusingan
keduanya. Ini kerana para peserta seolah-olah dapat menyanyi mengikut
cara dan gaya tersendiri. Misalnya, tanpa koreografi yang
meleret-leret, Hafiz dapat mendendangkan lagu Masih Jelas (pencipta:
Aidit Alfian dan lirik: Ad Samad) dengan begitu baik sekali. Sorakan
luar biasa menggamatkan Stadium Putra, Bukit Jalil. Para pengkritik
perlu menunggu sorakan reda sebelum dapat memberikan komen terhadap
persembahannya.
Aktres Lisa Surihani turut dijemput untuk acara selingan dalam Konsert
Akhir AF7 sebelum Yazid membuat persembahan. -foto The Star oleh AHMAD
IZZRAFIQ
Sementara itu, transformasi dikesan wujud dalam persembahan Akim dan
Isma. Akim menyuntik kesegaran dalam lagu Bencinta (Faizal Tahir)
dengan koreografi yang menggunakan kain panjang. Isma pula tampil
dengan rambut dan gaun hijaunya `bergelora' ditiup angin kencang.
Transformasi negatif: Kurang ajar
Pun begitu, transformasi positif tersebut bertukar menjadi negatif
apabila Aril terlebih membuat aksi - melompat tinggi dan jauh dari
pentas. Dia mimik gaya persembahan Tomok dalam pertandingan akhir OIAM3
baru-baru ini. Itulah, aksi dan gelagat diva sentiasa menjadi ikutan.Apa yang paling mengecewakan, Aril meletakkan kaki di atas meja juri,
bukan sekali tetapi dua kali. Rasanya, dia tahu kebiadapannya. Dia
merebahkan lututnya. Tapi dia meneruskan aksi kurang manis dengan
merampas satu kertas, direnyuknya lalu dibuang ke lantai. Bukankah itu
lagak kurang ajar? Selepas persembahannya berakhir, Edrie menitipkan
nasihat kepada Aril agar pandai membawa diri. "3 bulan adalah seperti
30 tahun, bagi artis. Maka, kena berhati-hati dengan personaliti,"
nasihatnya.
Harap-harap, selepas ini, apa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan tauladan.