- @fiez wrote:
- http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/23/mstar_hiburan/20090223094825&sec=mstar_hiburan
pegi paste, afiez tak reti buat
OIAM: Permulaan cemerlang, perkenal konsep imuniti
Oleh WAHIDA ASRANI
Esther merupakan peserta pertama menerima imuniti bagi minggu ini - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFINTIRAI One In A Million musim ketiga (OIAM) nampaknya dibuka
dengan cukup 'bergaya' pada Jumaat lalu. Dua belas peserta yang
berentap pada musim ini untuk merangkul wang kemenangan sebanyak RM1
juta nyata mempunyai keistimewaan tersendiri, meskipun episod
persaingan baru saja dimulakan.
Melihat kepada persembahan setiap peserta terbabit, tidak salah jika
dikatakan OIAM kali ini bakal mencetuskan 'fenomena' tersendiri jika
semua peserta tersebut mampu mengekalkan momentum persembahan dan vokal
yang hebat, walaupun setiap minggu program ini juga akan turut
menyaksikan penyingkiran peserta.
'Enam vs enam' - yang menunjuk kepada persaingan antara enam artis
dan enam peserta bukan artis juga menjadi tarikan utama program realiti
yang telah melahirkan bakat-bakat seperti Faizal Tahir, Suki, Ayu dan
Shila ini.
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Amylea; juara Mentor musim
pertama, Pija; Penyanyi Baru Terbaik AIM 2006, Rizu; tempat ketiga
Suara Emas Bintang RTM 2007, Han; vokalis kumpulan New Boyz, Tomok dan
vokalis kumpulan Coco, Nine membuktikan bakat mereka mengatasi
populariti apabila mempamerkan saingan yang cukup hebat dengan enam
peserta bukan artis iaitu Anith, Aweera, Ayu, Esther, Simon dan Fify
yang juga berjaya menunjukkan 'taring' masing-masing.
Pemilihan 12 peserta ini sebagai finalis OIAM musim terbaru ini memang dilihat antara 'batch' terbaik setakat ini.
Menariknya juga, kali ini konsep imuniti turut diperkenalkan -
peserta yang berjaya melakukan persembahan yang terbaik berdasarkan
pemilihan juri tetap iaitu Paul Moss dan Syafinaz Selamat akan menerima
imuniti dan secara automatik layak ke minggu seterusnya serta tidak
perlu melalui proses undian daripada penonton.
Juara Mentor musim pertama, Pija juga mempamerkan persembahan yang cukup 'energetic'Mengulas mengenai elemen baru yang dianggap 'kejutan' seperti yang
diumumkan pada malam itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham
Omar, konsep imuniti ini sebenarnya ingin dilakukan sejak OIAM musim
lalu, namun pihak produksi tidak dapat berbuat demikian kerana
faktor-faktor tertentu.
"Bagus juga kita adakan konsep imuniti ini kerana yang pastinya ia
akan menggalakkan peserta bekerja dengan lebih keras untuk memantapkan
persembahan mereka saban minggu.
"Kita juga sengaja perkenalkan elemen ini untuk memberi lebih
'drama' terhadap program ini, selain untuk tunjukkan kepada penonton
peserta mana yang dilihat hebat di mata juri," ujar Izham pada sidang
media sejurus persembahan semua peserta tersebut pada minggu pertama
OIAM yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Jumaat lalu.
Peserta dari Kota Kinabalu, Sabah, Elizabeth Applunius Chin atau
mesra disapa Esther muncul peserta pertama diberikan imuniti oleh
Syafinaz dan Paul pada malam tersebut berdasarkan kemantapan
persembahan vokalnya yang cukup menyerlah menerusi lagu Better In Time,
yang dipopularkan oleh Leona Lewis.
"Esther adalah penyanyi yang hebat. Kemampuannya mempamerkan
persembahan vokal yang 'ekstra' membuatkan kami terpikat untuk
memilihnya. Jika bukan Esther yang dipilih, saya rasa Pija adalah
seorang lagi peserta yang layak," kata Syafinaz.
Esther yang ditemui juga melahirkan rasa terkejut apabila diumumkan
sebagai penerima imuniti, lebih-lebih lagi apabila melihat saingan yang
cukup hebat daripada 11 peserta lain.
Tomok turut lakukan 'kejutan' dari segi kematangan vokal"Sebenarnya, semua peserta tidak tahu tentang imuniti tersebut. Ia
adalah satu kejutan buat kami. Apapun, saya menganggap ini sebagai
pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik," kata peserta
berusia 21 tahun ini.
Esther, Pija menyerlahSecara keseluruhannya, minggu pertama OIAM berjaya menampakkan
kesungguhan setiap peserta menyampaikan lagu mereka dengan cukup baik.
Sukar untuk membandingkan mereka dari aspek vokal, kerana masing-masing jelas mempunyai kekuatan tersendiri.
Namun tidak dinafikan, ada juga peserta yang dilihat kurang
'menyerlah' di dalam persembahan awal mereka ini...mungkin juga
disebabkan faktor 'nervous'. Masih ada ruang untuk mereka perbaiki
sebelum penyingkiran pertama akan dibuat pada minggu hadapan.
Di antara 12 peserta tersebut, Esther dan Pija dilihat berjaya
mengatasi 10 peserta lain, jika diukur dari segi vokal dan persembahan
pentas secara keseluruhannya. Esther mempertaruhkan keunikan suaranya,
manakala Pija pula bijak menguasai pentas dengan persembahan yang cukup
'energetic' serta mutu vokal yang baik menerusi Lagu Untukmu, dendangan
Meet Uncle Hussein.
Tidak ketinggalan Amylea yang menyampaikan lagu Aku Skandal, Simon
(Home), Fify (If I Were A Boy), Han (Menjaga Hati) dan Rizu (Juwita
Citra Terindah).
Persembahan mantap turut dipamerkan oleh Aweera, peserta yang
mengenengahkan imej rock melalui lagu popular Amy Search, Aku Dah
Bosan.
Vokalis New Boyz, Tomok juga membuat 'kejutan' dalam OIAM kali
ini apabila berjaya menampakkan kematangan dari segi vokal.Bak kata Syafinaz, "Awak 'natural' di atas pentas. Suara awak sudah
dewasa dan dah hilang 'sengau' macam dulu," komen penyanyi tersebut.Anith, Ayu dan Nine juga menampilkan persembahan vokal yang tidak
menghampakan. Namun, ketiga-tiga peserta ini masih dilihat kurang
'menyerlah' walaupun masing-masing mempunyai kemampuan vokal yang tidak
jauh beza hebatnya dengan peserta lain.
Cuma mungkin corak persembahan mereka yang tidak cukup meninggalkan 'impak' kepada penonton dan juri!
Mengulas mengenai persembahan peserta-peserta ini, kata Syafinaz,
secara keseluruhannya, dia dan Paul sememangnya berpuas hati dengan apa
yang dilakukan oleh semua peserta tersebut.
"Hampir 90 peratus semuanya bagus. Tapi, memang saya tidak nafikan
ada juga sedikit kecewa dengan beberapa peserta yang tidak buat sehabis
baik dalam persembahan minggu ini.
"Kelemahan yang saya nampak ketara ialah perasaan gementar mereka.
Apa yang saya harap, minggu depan semua peserta akan buat yang lebih
bagus. Tetapi, saya memang bangga dengan seleksi 12 peserta OIAM kali
ini yang saya rasakan memang layak untuk berada di sini," kata Syafinaz.