Peserta bertanding tepati tema OIAM3Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap |
|
JURI tetap One In A Million untuk musim ketiga (OIAM3) yang disiarkan setiap Jumaat jam 9.20 malam yakin rancangan realiti tv terbitan 8TV itu mampu menarik perhatian penonton setia memandangkan bakat diketengahkan pelbagai. |
Lebih menarik apabila beberapa artis ternama dan pernah menjuarai
pertandingan realiti tv terbitan stesen televisyen lain turut berjaya
menempatkan diri dalam senarai 12 peserta terbaik.
Penerbit
dan pencipta lagu, Paul Moss yang bergandingan dengan penyanyi dan guru
vokal, Syafinaz Selamat sebagai juri menegaskan, peserta dipilih turut
menepati tema OIAM3 iaitu Tampil Dengan Bakat Tersendiri (Show Your Own
Voice).
Tambahnya sewaktu ditemui baru-baru ini, uji bakat
dibuat secara menyeluruh oleh produksi rancangan ini bagi membolehkan
peserta benar-benar layak ditemui.
“Produksi rancangan ini
turut menambah lokasi uji bakat. Selain Kuala Lumpur mereka menjelajah
ke Pulau Pinang, Johor Bahru; Johor, Kuching; Sarawak dan Kota
Kinabalu, Sabah.
“Sebagai juri bertanggungjawab memilih 12
peserta akhir, saya mahupun Syafinaz turut berhadapan dengan kesukaran
kerana rata-rata mereka yang datang menunjukkan bakat sangat tinggi.
“Perkara ini berlarutan apabila jumlah peserta semakin mengecil.
Masalah bertekak dan berselisih faham dengan Syafinaz itu adalah biasa
kerana masing-masing mempunyai senarai peserta dirasakan layak.
“Memandangkan ramai yang bagus kami tidak mahu melepaskan peserta
kegemaran dan akhirnya selepas di timbang tara dari pelbagai sudut,
kami berasakan 12 peserta ini adalah yang terbaik,” katanya.
Walaupun ada enam peserta untuk musim ini terdiri daripada mereka yang
pernah menjadi artis rakaman dan memenangi anugerah, jelas Paul
mendengar mutu vokal ditampilkan, ternyata mereka yang tidak ada
pengalaman mempunyai peluang sama rata.
“Bergelar artis atau
tidak bukan perkara utama kerana pemenang rancangan ini ditentukan
sepenuhnya penonton setia menerusi undian sistem pesanan ringkas,”
katanya.
Syafinaz pula berpendapat tekanan bakal dirasai peserta yang
tidak mempunyai pengalaman dalam industri muzik tempatan, tidak sehebat
mereka yang sudah bergelar artis.
“Selalunya dalam pertandingan ini sudah tentu orang mahu melihat
bagaimana artis yang sudah punya nama bersaing dengan orang baru.
lebih-lebih lagi sekiranya peserta tidak berpengalaman menunjukkan
kemampuan vokal bagus.
“Pada pandangan saya pastinya tekanan
lebih dirasai Tomok (Shah Indrawan Ismail kerana populariti diraih
sebelum ini menerusi kumpulan New Boyz. Ramai penonton di luar sana
mahu melihat sejauh mana dia mampu bersaing dengan peserta sedia ada,”
katanya
Selain Tomok, penyanyi lain berjaya menempatkan diri
bekas juara rancangan realiti tv, Mentor terbitan TV3, Norafizah Mohd
Yasin (Pija) dan pemenang Artis Harapan, Anugerah Industri Muzik 2006
(AIM06); Muhammad Ridzuan Sharifuddin (Rizu).
Turut layak
penyanyi utama kumpulan Coco, Zulqarnain Jaafar (Nine), pemenang tempat
ketiga Bintang RTM 2007; Rehana Mohd Yunus (Han) dan bintang Akademi
Fantasia musim ketiga, Amylea Azizan (Amylea). Peserta lain yang turut
berjaya menempah tempat, Nasharul Aweera Noriyssham (Aweera), Anith
Aqilah Sulaiman Lim (Anith),Nurhidayu Md Tekary (Ayu), Fify Emielia
Shazlin Ahmad Murshaidi (Fify), Simon Christopher (Simon) dan
Elizabenth Applunius Chin (Esther).
Ketua Pegawai Eksekutif
8TV, Ahmad Izham Omar menjelaskan penerbitan rancangan OIAM3 bukan
bertujuan untuk mengejar keuntungan atau mencari jumlah penonton paling
ramai, sebaliknya ia diharapkan mampu dijadikan landasan untuk
mencungkil bakat dikalangan masyarakat muda tempatan.
Atas
alasan itu, kos lebih besar dikeluarkan bagi menyediakan latihan
diperlukan para peserta ini agar apabila berjaya mereka tahu bagaimana
hendak menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.
“Kami
turut menyediakan tenaga pengajar bagi melatih para peserta membabitkan
perkara yang diperlukan mereka untuk menjadi seorang penyanyi yang
bagus.
“Untuk itu kami menjemput Ning Baizura sebagai mentor
vokal, Pat Ibrahim menjadi penasihat persembahan pentas, Juita Abdul
Jalil, mentor keseluruhan persembahan dan Yuaz pula pelatih vokal,”
katanya.
Bagi musim ini persaingan akan bermula pada 20
Februari, dan selain itu penonton setia boleh mengikuti perkembangan
peserta mengikuti kelas yang diberikan tenaga pengajar ini menerusi
Diari OIAM setiap Isnin, Selasa dan Jumaat bermula jam 9.30 malam dan
11.30 malam.